Rakan Al-Wafi Ruqya

Isnin, 9 April 2012

Kes Sihir Siam dan Saka Perempuan Tua.


Ini kes pertama ana dulu. Dulu rasa teruja nak berdialog dengan jin, tapi bila dah tangani banyak kes, barulah terasa yang dialog dengan jin hanya meletihkan dan membuang masa sahaja. Beginilah ceritanya…

Ana mendapat panggilan telefon pada suatu pagi. Panggilan tersebut adalah dari encik Haslam (bukan nama sebenar) yang tinggal berdekatan dengan ana. Beliau meminta ana merawat isterinya yang mengalami gangguan mistik. Semestinya ana menunggu penggilan sebegini, kerana keinginan menimba pengalaman merawat pesakit sebenar setelah tamat kursus ilmu perubatan Islam.

Walaupun begitu, ana tidak akan pergi berseorangan, kerana ana meminta bantuan rakan seperguruan iaitu Abang Fairuz (dipanggil abang kerana dia lebih tua), yang tinggal berdekatan juga.

Sebelum pergi merawat, ana dan abang Fairuz bermesyuarat terlebih dahulu di masjid, tentang strategi rawatan. Kami berbincang tentang apa langkah-langkah yang perlu diambil untuk merawat pesakit. Maklumlah kami berdua masih baru lagi dan belum pernah merawat pesakit yang sebenar. Baru sahaja nak menimba pengalaman.

Setelah itu, Abang Fairuz membacakan Ruqyah Penuh kepada air yang dibawanya, ini bagi memudahkan rawatan kelak. Apabila di depan pesakit nanti, air ruqyah akan terus di sembur kepada pesakit menggunakan botol spray tanpa perlu menjiharkan ruqyah penuh. Ini akan menjimatkan masa rawatan.

Ketibaan kami di sambut oleh encik Haslam. Sambil menunggu di ruang tamu adalah isterinya Puan Hasmah. Kami pun bertanya tentang masalah yang di hadapi mereka.

Encik Haslam menjelaskan bahawa isterinya telah mengalami gangguan mistik dah cukup lama iaitu selama 20 tahun. Dah bermacam-macam bomoh dan perawat mereka dah jumpa, tapi masih lagi belum menjumpai kesembuhan. Dari pengalaman yang lepas, encik Haslam menceritakan bahawa Puan Hasmah telah disihir, dan jika kerasukan dia akan bercakap bahasa Siam.

Ana dan abang Fairuz saling berpandangan. Pada hemat ana, sememangnya salah satu simptom disihir ialah, gangguan sentiasa berulang walaupun telah banyak dirawat. Ini kerana tukang sihir akan sentiasa menghantar “yang lain” setelah pesakit mendapatkan rawatan.

Kami pun bertanya lagi simptom-simptom lain dengan lebih lanjut. Ternyata segala simptom sihir ada pada Puan Hasmah, baik simptom semasa tidur, atau simptom semasa jaga.

Puan Hasmah menerangkan beliau juga turut ada mengalami gangguan saka muslimah berupa perempuan tua. Beliau pernah bermimpi berjumpa sakanya itu, dan sakanya itu meminta daun sireh berserta air kopi diberikan kepadanya setiap hari. Puan Hasmah menambah lagi bahawa beliau pernah mendapatkan khidmat rawatan bomoh yang memasukkan “jurus” Harimau ke dalam dirinya.

“Temuramah” ini memang agak lama, tapi bagi ana tidak mengapa kerana pesakit berterus-terang dan menceritakan semuanya. Ini perlu bagi perawat dalam menyusun strategi rawatan, dan menjangkakan kemungkinan yang akan muncul semasa proses rawatan berkenaan.

Baru sahaja kami ingin memulakan rawatan, Puan Hasmah sudah kerasukan. Sambil dia tersengih-sengih, seperti rasa seronok pula ingin dirawat.

Ana memulakan bacaan “kola rabbi firghli wahabli mulkan….” lalu menyemburkan air ruqyah ke muka gangguan yang sedang merasuk. Keadaan yang tersengih tadi berubah menjadi marah dan bengis, kemudian mengaum pula.

“Tidak salah lagi, ini jin harimau”, bisik hati ana. Puan hasmah yang kerasukan ini mula merangkak ke arah kami sambil menderam seolah-olah bunyi harimau.

Ana membacakan pada rod logam rawatan yang Ana pegang “iz uhi rabbuka ilal mala ikati anni ma akum….” Ditambah dengan “ innama jaza ulladzi na yuha ribu nallah….” Lalu membuat aksi “kelar-kelar” pada gangguan merasuk. Manakala Abang Fairuz membaca ayat Kursi berulang-ulang.

Dari bunyi ganas menjadi bunyi takut pula, lalu gangguan merasuk perlahan-lahan kembali merangkak ke tempat rawatan (yang disediakan encik Haslam) dan rebah. Puan Hasmah pengsan pula.

Ini peluang untuk kami mengeluarkan gangguan makhluk halus dari tubuh Puan Hasmah. Akan tetapi belum sempat kami membuat apa-apa, tiba-tiba Puan Hasmah tersedar lalu melakukan posisi duduk.

Ana: ini siapa?

Gangguan merasuk : (bercakap bahasa Siam)

Ana: Aku tahu kamu pandai cakap Melayu, kamu dah duduk lama kat dia kan?

Gangguan merasuk: Hang buat apa mai kacau tempat aku? Jangan kacau tempat aku!

Ana: Siapa kau, kenapa kau ganggu wanita ni?

Tidak menjawab pertanyaan Ana, gangguan tersebut tiba-tiba membuat “hand seals” lalu membaca mantera, kemudian menulis sesuatu dengan jari, seolah-olah simbol karakter cina ala-ala reiki, terus ia menembak sesuatu ke arah kami.

Terasa ribuan jin-jin kecil melanggar badan kami, tapi kami juga rasa jin-jin kecil berkenaan terpelanting tidak memberi kesan kepada kami.

Gangguan itu tidak putus asa dan terus mencuba lagi.

Ana: Dia nak buat sihir tu.

Abang Fairuz: Camne sekarang?

Ana: Baca Yunus 81-82 ulang-ulang.

Akibatnya sihir yang cuba dilakukan jin siam berkenaan tidak menjadi. Kemudian ia pun menangis. Ana mengambil peluang ini untuk berdialog.

Ana: Siapa kau, kenapa ganggu wanita ini?

Gangguan merasuk: (Membuat isyarat tidak boleh bercakap.)

Ana: Ada jin pemantau di luar ke? Kenapa ganggu wanita ini?

Gangguan merasuk: (membuat isyarat tangan dileher)

Ana: Tuan kau nak dia mati?

Gangguan merasuk: (mengangguk)

Kemudian tiba-tiba ia kelihatan seperti dicekik.

Ana: kat mana jin pemantau, tunjuk!

Ia kemudian menunjukkan lokasinya. Apa lagi, Ana dan Abang Fairuz bertubi-tubi menembak jin berkenaan dengan ayat pemecah.

Tiba-tiba…

Gangguan merasuk: Me! Me! (sambil menangis lalu mencium lantai, tempat jin pemantau dimusnahkan)

Rupa-rupanya jin pemantau tersebut adalah ibu jin berkenaan. Ana tahu “me” (sebutan “mey”) tu maksudnya ibu dalam bahasa Siam. Dulu Ana selalu juga tengok drama TV Siam, jadi faham le sesikit (signal tv siam tersesat ke Malaysia, ni masa ana duk kat Terengganu masa kecik).

Ana dan abang Fairudz mengugut gangguan berkenaan agar ia memberi kerja sama. Seakan menggelabah, dia pengsan pula.

Terus bangun semula, rupanya yang lain pula merasuk. Kali ni ketua gangguan pula. Ni dapat difahami dari bahasa isyaratnya setelah di tanya siapakah dia.

Pendek cerita, diplomasi gagal ( buat letih ana dan abang Fairudz aje), lalu kami mengazab jin berkenaan dengan bacaan-bacaan ruqyah Al-Quran (biiznillah). Kemudian dia tumbang lalu timbul pula rasukan jin saka perempuan tua yang mengaku (kononnya) kerabat raja-raja. Dan jin ini mengaku dirinya Islam.

Bab dia Islam dan kerabat raja tu ana tak pastilah kebenarannya tu, yang penting dia keluar dari badan pesakit.

Ana dan abang Fairudz membaca ayatul Qursi dan mengulang-ulang ayat akhir ayatul Qursi, jin saka berkenaan juga ikut membacanya, secara penuh sampai habis. Akan tetapi bila lebih dari 30x ulangan, jin-jin sihir mula mengorak langkah untuk meninggalkan tubuh pesakit. Ini diketahui kerana jin saka yang merasuk itu, menunjukkan dengan isyarat tangan sambil tu dia juga turut berada dalam keadaan kesakitan.

Tanpa membuang masa, ana dan abang Fairudz terus mengunakan botol kaca (sebagai transit sahaja, bukan untuk mengurung) dan terus di hantarkan penempatan jin Islam Serambi Madinah untuk di adili kesalahan mereka.

Akhirnya semua gangguan keluar kecuali seekor jin asyik (jin cinta) yang asalnya adalah salah satu jin sihir yang amat menyayangi pesakit. Dan jin berkenaan sanggup mati demi pesakit (jin yang merasuk tu bagitau kami secara isyarat tangan sambil di terjemah oleh suami pesakit).

Oleh kerana jin berkenaan berdegil, maka kami pun sembelih jin berkenaan (biIznillah) dengan bacaan ruqyah Al-Quran. Akhirnya gangguan tumbang dan pesakit tersedar. Suami pesakit pula memeriksa mata pesakit untuk mengesahkan bahawa itu adalah isterinya, bukan jin yang merasuk. Akhirnya encik Haslam mengatakan bahawa mata isterinya kembali jernih dan mengesahkan bahawa itu adalah benar-benar isterinya.

Setelah memagar rumah berkenaan, kami meminta izin untuk pulang. Sekian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan